Panduan langkah demi langkah

Cara buat resume dalam 7 langkah

Baca iklan dulu, kemudian isi resume dari atas ke bawah: butiran diri, profil, pendidikan, pengalaman, kemahiran dan rujukan. Semak sekali lagi, dan hantar sebagai PDF.

Oleh Edwin TanDikemas kini

  1. Baca iklan jawatan dan tanda kata kuncinya.
  2. Tulis butiran diri (tanpa nombor IC).
  3. Tulis profil diri dalam 2 hingga 3 ayat.
  4. Senaraikan pendidikan, yang tertinggi dulu.
  5. Tulis pengalaman dengan kata kerja dan nombor.
  6. Pilih kemahiran dan bahasa yang boleh dibuktikan.
  7. Letak rujukan, semak, dan simpan sebagai PDF.

7 langkah

Langkah demi langkah, dengan contoh ayat

Contoh ayat di sini datang daripada resume fresh graduate di bahagian bawah halaman.

  1. Baca iklan jawatan dan tanda kata kuncinya

    Sebelum menulis apa-apa, baca iklan sekali lagi. Tanda perkataan yang majikan ulang: nama perisian, lesen, syif, bahasa. Bila perkara itu memang benar tentang anda, guna perkataan yang sama dalam resume.

    Satu resume untuk semua iklan jarang menjadi. Simpan satu versi induk, kemudian ubah profil dan kemahiran untuk setiap jawatan.

  2. Tulis butiran diri

    Nama penuh, nombor telefon, e-mel dan bandar. Itu sahaja.

    ContohNurul Izzati binti Hassan · 011-2345 6780 · izzati.hassan.kerja@gmail.com · Shah Alam, Selangor

    Guna e-mel yang berbunyi profesional, biasanya nama anda. Nombor kad pengenalan dan alamat rumah penuh tak perlu ada.

  3. Tulis profil diri dalam 2 hingga 3 ayat

    Formula senang: siapa anda, satu bukti, dan kerja apa yang anda cari.

    Graduan baruGraduan Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) 2026. Menjalani latihan industri enam bulan di agensi pemasaran digital, menyediakan kandungan media sosial dan laporan iklan mingguan.

    Lepasan SPMLepasan SPM 2025. Boleh mula kerja serta-merta dan sanggup bekerja ikut syif, termasuk hujung minggu.

    BerpengalamanEnam tahun pengalaman kerja stor runcit, termasuk hampir empat tahun sebagai penyelia stor di gudang pengedaran. Mengurus pasukan lapan orang dalam dua syif.

    Elakkan ayat yang semua orang boleh tulis, seperti "Seorang yang rajin, jujur dan bertanggungjawab". Tunjukkan rajin itu dalam bahagian pengalaman.

  4. Senaraikan pendidikan, yang tertinggi dulu

    Untuk setiap kelayakan: nama kelayakan, institusi, tahun, dan keputusan. Tulis PNGK dengan dua tempat perpuluhan, contohnya "PNGK 3.41". Jika anda ada ijazah atau diploma, SPM cukup satu baris.

    Ada MUET? Tulis band dan tahap CEFR sekali, contohnya "MUET Band 4.0 (CEFR B2)". Majikan yang tak biasa dengan band MUET lebih mudah faham tahap CEFR.

    Band MUETCEFRSkor agregat (daripada 360)
    5+C1+331 – 360
    5.0C1294 – 330
    4.5B2258 – 293
    4.0B2211 – 257
    3.5B1164 – 210
    3.0B1123 – 163
    2.5A282 – 122
    2.0A236 – 81
    1.0A21 – 35

    Sumber: keterangan band MUET, Majlis Peperiksaan Malaysia.

    Lepasan SPM yang perlu senaraikan gred setiap subjek boleh rujuk cara tulis gred SPM.

  5. Tulis pengalaman dengan kata kerja dan nombor

    Setiap kerja: jawatan, tempat, tempoh, kemudian 2 hingga 4 baris tugas. Mula setiap baris dengan kata kerja. Letak nombor bila ada: berapa orang, berapa kali seminggu, berapa banyak.

    SebelumSelepas
    Bertanggungjawab menjaga kaunter.Mengendalikan kaunter bayaran dan menutup laci tunai pada akhir syif.
    Membantu bahagian pemasaran.Menulis tiga hantaran Instagram dan TikTok seminggu untuk dua jenama runcit.
    Pandai guna Excel.Menyediakan laporan prestasi iklan mingguan dalam Google Sheets.
    Saya telah menyelia pekerja stor.Menyelia lapan pekerja stor dalam dua syif.

    Latihan industri, kerja sambilan dan projek tahun akhir semuanya boleh masuk, terutama untuk graduan baru.

  6. Pilih kemahiran dan bahasa yang boleh dibuktikan

    Tulis nama alat yang sebenar. "Canva dan CapCut" lebih jelas daripada "kemahiran reka bentuk". "Google Sheets: jadual pangsi dan carta" lebih jelas daripada "mahir komputer".

    Untuk bahasa, letak tahapnya: fasih, baik atau sederhana. Kalau ada MUET, sebut bandnya.

  7. Letak rujukan, semak, dan simpan sebagai PDF

    "Boleh diberikan apabila diminta" sudah memadai. Kalau iklan minta nama rujukan, minta izin orang itu dulu: pensyarah penyelia, bekas penyelia atau guru kelas.

    Kemudian simpan sebagai PDF, supaya susun atur tak lari bila dibuka di telefon atau komputer lain.

    Di komputer (Chrome)

    Buka menu File > Print, atau tekan Ctrl + P (Mac: ⌘ + P). Pilih "Save as PDF" sebagai destinasi, kemudian simpan.

    Di telefon Android (Chrome)

    Buka menu ⋮ > Share > Print. Di bahagian atas, pilih "Save as PDF", kemudian tekan butang muat turun PDF.

    Ikut halaman bantuan Google Chrome untuk mencetak di komputer dan mencetak di Android. Pembina di halaman utama ada butang Cetak / Simpan PDF yang hanya mencetak resume.

Contoh lengkap

Contoh resume fresh graduate, hasil 7 langkah

Pendidikan di atas kerana pengalaman masih pendek.

Ini hasilnya bila tujuh langkah di atas diikut untuk seorang graduan pemasaran yang baru habis latihan industri. Profil dua ayat, MUET dengan CEFR, latihan industri sebagai pengalaman utama, dan kemahiran yang menyebut nama alat.

Fresh graduate · butiran rekaan

Nurul Izzati binti Hassan

Eksekutif Pemasaran Digital

011-2345 6780izzati.hassan.kerja@gmail.comShah Alam, Selangor

Profil Diri

Graduan Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) 2026. Menjalani latihan industri enam bulan di agensi pemasaran digital, menyediakan kandungan media sosial dan laporan prestasi iklan mingguan untuk dua pelanggan runcit.

Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran2022 – 2026

Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

PNGK 3.41

Malaysian University English Test (MUET)2023

Band 4.0 (CEFR B2)

Pengalaman Kerja

Pelatih Pemasaran Digital (latihan industri)Feb – Jul 2026

Agensi pemasaran digital, Petaling Jaya

  • Menulis tiga hantaran Instagram dan TikTok seminggu untuk dua jenama runcit
  • Menyediakan laporan prestasi iklan mingguan dalam Google Sheets
  • Membantu penggambaran video produk di studio

Juruwang sambilanCuti semester 2023 dan 2024

Pasar raya, Seksyen 7 Shah Alam

  • Mengendalikan kaunter bayaran dan menutup laci tunai pada akhir syif

Kemahiran

  • Canva dan CapCut
  • Meta Business Suite (asas)
  • Google Sheets: jadual pangsi dan carta
  • Menulis kandungan dalam BM dan BI

Bahasa

  • Bahasa Melayu (fasih)
  • Bahasa Inggeris (baik, MUET Band 4.0)

Aktiviti dan Pencapaian

  • Naib Pengerusi Kelab Pemasaran, sesi 2024/2025
  • Projek tahun akhir: pelan pemasaran untuk perniagaan kek dari rumah

Rujukan

  • Boleh diberikan apabila diminta
Nama, nombor dan tempat kerja dalam contoh ini rekaan.Guna contoh ini dalam pembina

Fail dan e-mel

Nama fail PDF dan e-mel permohonan

Namakan fail dengan nama anda dan jawatan, tanpa ruang kosong:

Nama failResume_NurulIzzati_EksekutifPemasaran.pdf

Fail bernama "resume.pdf" atau "CV final 2 (1).pdf" senang hilang dalam folder penyaring.

Kalau menghantar melalui e-mel, tulis tajuk yang menyebut jawatan dan nama. Badan e-mel cukup tiga atau empat baris.

Tajuk e-melPermohonan Jawatan Eksekutif Pemasaran Digital: Nurul Izzati binti Hassan

Badan e-melTuan/Puan,
Saya ingin memohon jawatan Eksekutif Pemasaran Digital seperti yang diiklankan. Resume saya dilampirkan dalam format PDF. Saya boleh dihubungi di 011-2345 6780.
Terima kasih.
Nurul Izzati binti Hassan

Semakan akhir

Semakan akhir sebelum tekan hantar

  • Nama dan nombor telefon betul. Cuba dail nombor itu sekali.
  • E-mel boleh menerima mesej, dan bukan e-mel lama yang dah tak dibuka.
  • Tiada nombor IC atau alamat rumah penuh.
  • Tarikh dalam pengalaman dan pendidikan tak bertindih secara pelik.
  • Setiap baris tugas mula dengan kata kerja.
  • Ejaan nama syarikat dan jawatan dalam profil sama seperti dalam iklan.
  • Muat satu muka surat (atau dua, jika pengalaman panjang).
  • Fail dalam PDF, dibuka sekali di telefon untuk pastikan susun atur betul.
  • Orang yang anda letak sebagai rujukan sudah setuju.